Sunday, July 1, 2012

Profesor Ulung buka tirai Syarahan Perdana 2012



Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin menjadi profesor pertama yang membuka tirai Majlis Syarahan Perdana bagi tahun 2012 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 28 Jun lalu.

Datuk Dr. Shamsul Amri merupakan salah seorang daripada tiga Profesor Ulung yang telah dilantik pada tahun 2010. Beliau yang berkelulusan PhD. dalam bidang Antropologi Sosial ini juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN). Beliau bukan sahaja seorang aktivis dalam bidang akademik malah turut aktif meneliti, menulis dan menyampaikan kuliah  mengenai politik, budaya dan pembangunan ekonomi di seluruh dunia semenjak tahun 1976 lagi.

Syarahan bertajuk “Sains Sosial Melestari Pembangunan Insan” dimulakan dengan huraian mengenai konsep Sains Sosial dan Pembangunan Insan. Beliau turut berkongsi pengalaman dan menyelitkan secara ringkas beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini mengenai pembangunan sains sosial di Malaysia. 


Dalam syarahannya, Datuk Dr. Shamsul Amri menegaskan kerjasama daripada individu, keluarga, komuniti dan masyarakat dalam negara amatlah diperlukan bagi membangunkan sains sosial yang menjadi pemangkin utama dalam pembangunan insan. 


Secara keseluruhannya, syarahan beliau lebih bertumpu kepada kestabilan sosial dan pembangunan insan sebagai penyumbang utama kepada keamanan negara. Menurutnya, kedua-dua aspek ini amat penting untuk mewujudkan kualiti hidup yang sempurna.


Majlis anjuran Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPI) itu dihadiri oleh kira-kira 300 orang kakitangan universiti yang rata-ratanya terdiri daripada kakitangan akademik. Turut hadir ke majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim, Dekan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Profesor Madya Dr. Azme Khamis, Ahli-ahli Senat dan pegawai kanan universiti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.