Sunday, July 22, 2012

UTHM gondol 12 pingat di kejohanan sukan MASUM fasa II


KLIK SINI

Sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan di Kejohanan sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) fasa II, 2012 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 13 hingga 19 Julai baru-baru ini.

UTHM selaku tuan rumah telah menggondol 4 pingat Emas, 4 pingat perak dan 4 pingat gangsa dengan meletakkan kemenangan keseluruhan di tempat ketiga selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai naib johan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai johan.


Kejohanan sukan kali ini melibatkan penyertaan hampir 3000 atlit dan pegawai daripada 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh Malaysia. Sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan iaitu bola baling, sofbol, boling padang, hoki, pencak silat, ping pong, ragbi dan bola keranjang.

Majlis penutup sukan MASUM fasa II yang berlangsung pada 19 Julai bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato’ Razali Ibrahim.


Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata kejohanan sukan MASUM merupakan salah satu platform untuk merealisasikan Dasar Sukan Negara (DSN) yang memberi penekanan kepada sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan.

“Pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah dan kejohanan sukan MASUM untuk menggalakkan sukan secara aktif di peringkat IPT menjadi tunggak penting dalam menjayakan dasar ini. Justeru, saya melihat kejohanan sukan MASUM ini memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sukan selain merupakan tempat untuk mengetengahkan bakat atlit IPT ke peringkat yang lebih tinggi,” Katanya.

Menurutnya lagi, Dasar Pembangunan Sukan IPT  pula mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlit negara terdiri daripada atlit IPT. Justeru beliau yakin jumlah tersebut dapat dicapai melalui sukan MASUM ini.

Majlis penutupan tersebut turut diselitkan dengan upacara pelancaran Sukan IPT Malaysia (SUKIPT) 2012 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bakal berlangsung pada 27 Oktober hingga 8 November nanti. SUKIPT 2012 bakal membabitkan penyertaan lebih 100 kontinjen IPT seluruh negara dengan anggaran penyertaan menjangkaui 15,000 atlet dan pegawai bagi beberapa acara sukan seperti olahraga, renang, tenpin bowling, sepak takraw, badminton, ragbi 7’s, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, taekwondo, menembak, catur, karate, tenis dan bola jaring.

Sebelum itu turut diadakan sesi penyerahan bendera kejohanan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku tuan rumah sukan MASUM yang akan datang.


Turut hadir, Pengerusi MASUM, Profesor Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur;  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Saharudin Ismail.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.