Thursday, July 28, 2011

Profesor Dr. Maizam Kupas Tentang Ilmu Pengajaran dan Pembelajaran

Profesor Dr. Maizam Alias, Pensyarah Fakulti Pendidikan Teknikal telah menyampaikan syarahan pada Majlis Syarahan Perdana Siri 5/2011 bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 28 Julai lalu.

Syarahan bertajuk ''Pedagogy and Adragogy: Does it Matter?'' memfokuskan tentang kepentingan bagi setiap pendidik untuk menguasai ilmu serta kemahiran pembelajaran dan pengajaran (P&P) ke arah mencapai sasaran P&P.

Beliau telah membincangkan tentang kesinambungan yang wujud antara teori pembelajaran dan pengajaran yang menjadi sumber rujukan kepada amalan pedagogi dan andragogi.

Dua teori pembelajaran iaitu teori pembelajaran kognitif dan sosial-kognitif telah dibincang secara terperinci dan diselang selikan dengan aplikasi dalam penyelidikan P&P pengajian tinggi.

Profesor Dr. Maizam mengakhiri syarahan dengan memberi ulasan ringkas tentang instrumen pengukuran yang berkualiti kearah menjamin proses pengukuran dan penilaian yang mempunyai kesahihan dan kebolehpercayaan.

Profesor Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM turut memberi ulasan tentang syarahan tersebut di akhir majlis.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Tuan Haji Sulam Hamid, Pendaftar, Ahli-Ahli senat UTHM dan juga Dekan-Dekan Fakulti.

Kira-Kira 300 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf-staf UTHM serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka menghadiri Majlis tersebut.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.