Tuesday, July 26, 2011

TUNKU MAHKOTA JOHOR SEMPURNAKAN MAJLIS ANUGERAH BINTANG,PINGAT DAN SIJIL DIRAJA PENGAKAP MALAYSIA 2011

BATU PAHAT - “Melalui penglibatan sebagai anggota Pengakap, ia dapat menjauhkan remaja dan anak muda daripada gejala negatif”, titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Sijil DiRaja Anugerah Pengakap Raja di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 23 Julai lepas.

Tambah Tunku Ismail lagi, menyertai Pengakap berupaya menjadikan remaja masa kini mampu menangkis serangan negatif gejala sosial yang menyalahi moral, fizikal, dan tata susila masyarakat Malaysia.

Baginda turut mengingatkan hadirin terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam salah satu program Jambori Pengakap Johor, remaja masa kini mengalami krisis identiti yang boleh membawa kepada kehancuran moral.

Melalui penglibatan sebagai anggota pengakap, gejala ini akan dapat diatasi dengan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh persatuan ini seperti bersemangat patriotik, jujur, dan menghormati orang lain.

Majlis Penganugerahan Pengakap Raja adalah majlis pengiktirafan kepada ahli pengakap yang memberikan komitmen penuh kepada pertubuhan dan banyak menyumbang jasa bakti kepada pengakap di negara ini.

Pengakap Raja adalah kelulusan ujian kepandaian tertinggi bagi ahli pengakap melalui satu sistem penilaian Lembaga Pentarafan Pengakap Raja berdasarkan skema yang ditetapkan Persekutuan Pengakap Malaysia.

Seramai 251 anggota Pengakap menerima anugerah, iaitu 59 orang penerima Bintang dan Pingat dan 192 orang penerima Sijil DiRaja.

Sijil Pengakap ini ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Duli-Duli Sultan dan Raja-Raja di Malaysia

Ketua Pengakap Negara, Dato’ Seri Paduka Dr. Haji Shafie Haji Mohd Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr. Abdul Aziz bin Dato' Abdul Samad selaku wakil rasmi Naib Canselor turut hadir ke majlis ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.