Tuesday, March 20, 2012

Aman Kampus UTHM semai budaya sukarela siswa

Bersempena program Aman Kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung sepanjang Mac 2012, satu program “Mahasiswa bersama Masyarakat” telah diadakan pada 11 Mac lalu bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat.

Program Mahasiswa bersama Masyarakat yang melibatkan lima buah kampung sekitar Parit Raja, Batu Pahat ini telah menghimpunkan lebih 500 orang pelajar untuk menjayakan beberapa aktiviti secara sukarela. Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Sekolah Jalan Arab, Kampung Parit Raja Darat, Kampung Parit Raja Tengah, Kampung Parit Baru dan Kampung Parit Daun.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong royong membersihkan kawasan kampung seperti membersih, mengecat dan membaik pulih surau serta sumbangan bantuan berbentuk tenaga dan makanan kepada orang perseorangan.

Sementara itu aktiviti Ikon Siswa pula antara usaha mahasiswa UTHM untuk mendekati golongan pelajar di peringkat sekolah. Ikon Siswa ini adalah untuk mendedahkan para pelajar sekolah dengan kehidupan atau suasana universiti sekaligus untuk memupuk semangat mereka untuk terus melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi.

Manakala aktiviti Cergas Siswa pula diadakan untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat umum dan belia mengamalkan gaya hidup sihat. Aktiviti seperti senamrobik, sukan rakyat, perlawanan bola sepak dan bola jaring telah diadakan bagi mengeratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat.

Menurut pengarah program Aman Kampus UTHM, Mohd Hafiz Ariffin setiap aktiviti yang diadakan adalah untuk memberi manfaat kepada seluruh mahasiswa dan masyarakat setempat dalam menjalani kehidupan kampus yang harmoni dan proaktif.

“Kami amat berbesar hati kerana kesemua aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar mahupun penduduk kampung yang terlibat. Mereka menyambut baik program yang berbentuk kemasyarakatan seperti ini dan berharap dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa,” katanya.

Majlis Perwakilan Pelajar UTHM telah mengadakan program Aman Kampus bertujuan untuk membawa mesej keamanan serta memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan mahasiswa. Pengisian program seperti Mahasiswa bersama Masyarakat, Karnival Buku dan PC Fair, Bicara Ilmu dan program Aktif Siswa adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain serta untuk mendidik mahasiswa untuk lebih mencintai keamanan.

Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM telah menyempurnakan majlis penutup Aman Kampus ini yang berlangsung pada 11 Mac lalu.

“Dengan menggunakan pendekatan yang berkonsepkan rasional, toleransi dan realistik, program Aman Kampus ini merupakan platform terbaik dalam usaha menyebar budaya mencintai keamanan. Syabas kepada semua yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini,” katanya.

Hadir ke majlis tersebut Presiden Persatuan Alumni Aspirasi Nasional, Muhammad Shahar Abdullah, sebilangan ahli persatuan Aman Kampus dan kira-kira 700 orang mahasiswa UTHM yang terdiri daripada ahli Kelab Sahabat 1Malaysia, Kelab Penyayang, Kelab Sukarelawan, Kelab Kaunseling dan Kerjaya serta Persatuan Pelajar Awam dan Pelajar Mekanikal.
















No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.