Thursday, March 8, 2012

Kongres Kepimpinan 2012 - didik mahasiswa jadi pemimpin cemerlang



Lebih 1000 mahasiswa telah didedahkan dengan prinsip kepimpinan dan ciri pemimpin cemerlang dalam program Kongres Kepimpinan 2012 anjuran Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 1 Mac lalu.

Kongres yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII) ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang prinsip-prinsip kepimpinan, fungsi, kemahiran dan sikap sebagai pemimpin, serta untuk menyemarakkan lagi semangat kekitaan dan toleransi dalam kalangan pelajar.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM dalam ucaptamanya berkata kongres kepimpinan ini merupakan kali pertama diadakan di universiti ini dan beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Selaras dengan tema “Transformasi Kepimpinan Muda Nadi Penggerak Modal Insan,” saya berharap kongres ini dapat membuka mata dan minda golongan pelajar khususnya terhadap kepentingan konsep dan corak kepimpinan yang perlu wujud dalam diri masing-masing,” katanya.

Dalam ucapan yang mengambil masa hampir satu jam itu, beliau turut berkongsi ilmu dan pengalamannya sebagai seorang pemimpin dengan mengupas lebih lanjut mengenai ilmu-ilmu kepimpinan. Beliau turut menyentuh tentang istilah-istilah dalam kepimpinan dan huraian kepada tema kongres tersebut.

Sementara itu, Profesor Haji Ab. Aziz Abdul Latiff, Dekan Pusat Pengajian Diploma berkata kongres ini bertujuan untuk meningkatkan lagi motivasi pelajar dengan mendalami ilmu kepimpinan supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang cemerlang dalam organisasi masing-masing nanti.

“Saya berharap program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para mahasiswa dalam membentuk potensi diri ke arah mencapai kecemerlangan” katanya lagi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad dan beberapa Pegawai Kanan UTHM.

Sepanjang kongres ini berlangsung, tiga sesi ceramah telah dikendalikan oleh penceramah berpengalaman. Ceramah pertama bertajuk “Pembentukan Keperibadian dalam Kepimpinan Menuju Kecemerlangan Kerjaya,” telah disampaikan oleh Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM), Dato’ Khairul Anwar Rahmat.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif dan Perunding Korporat DCL, Dato’ Haji Stapa Omar menyampaikan ceramah bertajuk “Transformasi ke arah Kelestarian Kepimpinan Global.” Manakala Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ), Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir pula menyampaikan ceramah bertajuk “Survival Skills for the Future.”

Selain itu, kongres tersebut juga diselitkan dengan pembentangan aktiviti mobiliti pelajar ke tiga negara iaitu Kemboja, Singapura dan Indonesia. Dalam pembentangan tersebut, sekumpulan pelajar yang terdiri daripada peserta program telah berkongsi pengalaman mereka ketika berada di negara-negara terbabit.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.