Tuesday, March 20, 2012

Lawatan ke Jordan buka laluan UTHM ke Timur Tengah

Satu lawatan kerja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Jordan yang diketuai oleh Tan Sri Dato’ Ir. Jamilus Md Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti telah berjaya membuka ruang yang lebih luas kepada UTHM untuk melebarkan sayapnya ke Timur Tengah.

UTHM sebelum ini telah diberi mandat oleh Bank Dunia untuk membangunkan projek pembangunan latihan vokasional di Jordan. UTHM, melalui anak syarikatnya, UTHM Holdings Sdn. Bhd. telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan sistem pentadbiran dan model latihan vokasional Jordan melalui Vocational Training Corporation (VTC) di bawah Kementerian Buruh, Jordan.

Sehubungan dengan itu, satu MoU telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Ketua Pengarah VTC, Mr. Majed Al-Habashneh pada majlis Conferance on Vocational Training:Advanced Models on Training Corporation (VTC) yang telah diadakan pada 20 hingga 21 Februari 2012 di sebuah hotel terkemuka di Amman. MoU tersebut melibatkan kerjasama dalam bidang akademik, latihan dan juga penyelidikan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM juga telah diberi penghormatan untuk berucap semasa majlis pembukaan persidangan tersebut. Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Buruh Jordan, Dr Mahmoud Al-Kafawin dan wakil dari agensi yang berkaitan dengan latihan vokasional dan teknikal Jordan.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah ahli Lembaga Pengarah Universiti, Mejar Jeneral (B) Dato’ Md. Ismail Ahmad Khan, Dr. Pang Chau Leong, dan Pendaftar UTHM, Haji Sulam Hamid.

Delegasi UTHM turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Profesor Dr. Rowaida Al-Maaitah, Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Sains, Jordan. Pertemuan tersebut telah diatur oleh Dato’ Abdul Malek Abdul Aziz, Ambasador Malaysia ke Jordan. Dalam pertemuan itu, Tan Sri Jamilus sempat menyatakan hasrat UTHM untuk mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Jordan.

Beberapa siri bengkel juga diadakan sebagai sebahagian daripada keperluan projek. Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor Dr. Noraini Kaprawi dengan tajuk “Women in Development” dan “Organisational Assessment” oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly bersama rakan perundingnya, Dr Hose Lacson dan Profesor Dr. Lem.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.