Sunday, March 11, 2012

Warga UTHM sambut baik pengumuman Perdana Menteri

Warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia berkenaan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 lalu seterusnya mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan beberapa penambahbaikan dibuat.

Warga Universiti juga menyokong pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai penubuhan sebuah suruhajaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat awam pada masa depan serta bagi menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan. Penubuhan suruhanjaya tersebut juga telah mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap suara seluruh warga penjawat awam di Malaysia.

UTHM yang pada ketika ini memiliki 2250 kakitangan yang diwakili oleh tiga persatuan yang berdaftar iaitu Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PENTAS), Persatuan Pensyarah dan Pengajar (PERKASA) dan Kesatuan Kakitangan Sokongan (KEKAS) sebulat suara menyokong dan menyanjung tinggi kebijaksanaan Perdana Menteri dalam menyelesaikan kemelut serta isu yang berkaitan SBPA ini yang telah berlanjutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut Pengerusi PENTAS UTHM, En. Abdul Malek Ibrahim, seluruh ahli persatuan amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana mendengar denyut nadi penjawat awam selaras dengan pengumuman yang dibentangkan semasa bajet 2012 lalu yang berpegang kepada asas penyelarasan gaji iaitu antara tujuh hingga 13 peratus. Harapan seluruh ahli PENTAS agar penambahbaikan SSM akan mengambilkira semua aspek dari segi gaji, kebajikan, kemudahan, kaedah kenaikan pangkat (prospek) yang lebih jelas, laluan kerjaya yang lebih luas kepada penjawat awam khususnya pentadbir universiti. "Semoga keputusan ini diterima dengan berlapang dada oleh semua pihak", katanya.

Pengerusi KEKAS UTHM, En. Faizal Naim berkata,"kami di KEKAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kita di atas pengumuman yang telah dibuat dan disifatkannya sebagai diluar jangkaan dimana apa yang kita perjuangkan tempohari bersama-sama dengan CUEPACS dan hasilnya lebih baik daripada yang dijangkakan. Sekaligus beliau meletakkkan harapan agar seluruh kakitangan khasnya bagi kumpulan pelaksana dapat mempertingkatkan lagi produktiviti negara.

Sementara itu, Pengerusi PERKASA UTHM, Profesor Madya Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin pula berkata, "Pembatalan SBPA akan meredakan lima masalah yang dihadapi sekiranya ia dilaksanakan seperti yang telah dikenalpasti oleh pihak CUEPACS dan Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC). Pengagihan peratusan kenaikan gaji menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap jurang pendapatan di antara kakitangan pelaksana dan peringkat pengurusan dan profesional. Penubuhan suruhanjaya khas mengenai perkhidmatan awam juga dijangka akan memberikan peluang penambahbaikan berterusan terhadap kebajikan dan skim perkhidmatan kakitangan awam.

Namun, kerajaan diharap akan dapat mengkaji dengan serius untuk memberikan insentif khas kepada pensyarah universiti seperti yang dinikmati oleh bidang kepakaran yang lain seperti perubatan dan perguruan. Justeru itu, suruhanjaya khas yang ditubuhkan hendaklah mengambilkira pandangan majlis dan persatuan pegawai akademik di universiti bagi memartabatkan profesion pegawai akademik di universiti. Kesarjanaan pegawai akademik universiti yang bertaraf profesor perlu diletakkan di tahap yang bersesuaian kerana peranannya melahirkan profesional dan cendiakawan dalam bidang kepakaran masing-masing"

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.