Sunday, July 29, 2012

PEIS platform pelajar antarabangsa kuasai bahasa Inggeris


Oleh Muhammad Radzi Kamarudin 

Dalam usaha memperkembangkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua kelompok masyarakat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Pusat Pendidikan Berterusan (CEC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memainkan peranan aktif dengan menganjurkan program Preparatory English for International Students (PEIS) 2012 selama 72 hari bermula 25 Jun hingga 30 Ogos. 

Program yang melibatkan kursus intensif bahasa inggeris untuk pelajar antarabangsa ini tidak mempunyai kelayakan minimum bahasa inggeris seperti yang telah disyaratkan dalam peraturan akademik dan setara dengan kelayakan ILETS 5.0 dan TOFEL 500 . Penekanan intensif diberikan dalam kursus ini melibatkan beberapa modul iaitu modul writing, reading, listening dan speaking. 

Pendaftaran program ini telah dijalankan pada 23 Jun lalu dan melibatkan 32 orang peserta. Sepanjang kursus berlangsung, peserta dilibatkan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran berbentuk kuliah, video, “role play”, kerja lapangan, kuiz, Internet dan pelbagai pendekatan pembelajaran aktif lain. Peserta juga diuji dengan peperiksaan akhir dan bagi mereka yang lulus program ini akan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM yang dijadualkan pendaftarannya pada September 2012. 

Selain daripada pendedahan intensif bahasa inggeris, peserta juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai kebudayaan Malaysia melalui modul Malaysia Culture. Pendedahan mengenai kebudayaan masyarakat setempat ini bertujuan untuk membantu peserta berkenaan mengadaptasi diri dengan cepat bersama masyarakat setempat. 

Di samping itu peserta turut dibawa melawat pasar pagi pada 28 Jun lalu untuk memberi peluang merasai sendiri budaya kehidupan masyarakat di Parit Raja. Peserta juga berikan pendedahan mengenai kemahiran komputer melalui modul Library Skills manakala pendedahan kepada penggunaan komputer dan sistem yang digunapakai oleh UTHM didedahkan melalui modul IT Skills. Kesemua aktiviti ini dilaksanakan dengan menggunakan bahasa inggeris. 

Oleh kerana sambutan daripada para peserta amat menggalakkan, program PEIS ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun berikutnya bagi memastikan hasrat UTHM menjadi universiti bertaraf antarabangsa akan terus disemarakkan melalui peningkatan bilangan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTHM.

Sunday, July 22, 2012

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan terima bangunan baru



Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima bangunan barunya secara rasmi pada 20 Julai baru-baru ini.

Majlis Penyerahan bangunan yang diadakan di ruang lobi bangunan baru fakulti ini merupakan simbolik kepada penyerahan tanggungjawab yang sebelumnya diuruskan oleh Kontraktor Utama, Kosmo Setegas Sdn Bhd kepada pasukan penyelenggaraan universiti iaitu bahagian Pengurusan Fasiliti dan Harta, Pejabat Pengurusan Harta Bina (PPH).

Untuk rekod, pembinaan projek yang mengambil masa kira-kira 18 bulan ini dipantau sepenuhnya oleh bahagian Perancangan dan Pembangunan, PPH. Sebelum majlis penyerahan ini berlangsung, bangunan fakulti yang melibatkan kos 30  juta ini telah pun memulakan operasinya pada Ogos tahun lalu.

Bangunan baru FPTP ini menempatkan pejabat pentadbiran dan pusat-pusat kecemerlangan, makmal-makmal, dewan kuliah, ruang pengajaran dan pembelajaran serta bilik-bilik pensyarah. Bangunan ini merupakan antara bangunan tercantik di UTHM dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Antaranya kemudahan ruang yang dilengkapi dengan Wi-Fi yang mudah diakses dan bangunannya dibina dengan ciri-ciri berasaskan mesra orang kurang upaya (OKU).

Menurut Timbalan Pengarah Perancangan dan Pembangunan, PPH; Ir. Alias Mohd Zin, reka bentuk pelan berkonsepkan rama-rama sedang melebarkan sayap ini memberikan ruang pengaliran udara secara semulajadi yang amat baik pada bahagian tengah bangunan selain memberikan pencahayaan semulajadi pada seluruh ruang yang terdapat dalam bangunan.

Katanya lagi penggunaan penghawa dingin yang dilengkapi sistem variable refrigerant volume (VRV) dan sistem pencahayaan lampu menggunakan sensor yang dikawal secara automatik menjimatkan lagi penggunaan elektrik. Manakala hampir 50 peratus bangunan ini menggunakan aluminium ‘Sun Shading Louvers’ yang dapat memantulkan semula haba bagi mengurangkan kepanasan daripada diserap terus pada dinding bangunan.


Ruang legar lobi yang luas dan mempunyai ketinggian ‘double volume’ memberikan suasana mesra untuk menyambut pengunjung yang datang sekaligus menjadikan ruang ini sebagai ruang pelbagai guna. Sementara itu kehadiran taman di bahagian tengah bangunan memberikan ruang rekreasi yang baik kepada para pelajar selain dapat mengharmonikan lagi persekitaran bangunan dengan alam semulajadi. Manakala ruang tempat meletakkan kenderaan pula mampu menempatkan hampir 300 kenderaan pada satu-satu masa.

Turut hadir ke majlis penyerahan tersebut Pengarah PPH, Profesor Madya Dr. Abd. Halid Abdullah; Dekan FPTP, Profesor Madya Sr Dr. David Martin @ Daud Juanil; Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Profesor Ayob Johari, Pengarah Projek Kosmo Setegas Sdn Bhd, Encik Radin Zulkarnain Radin Abd Rahman dan warga kerja FPTP dan PPH.

UTHM gondol 12 pingat di kejohanan sukan MASUM fasa II


KLIK SINI

Sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan di Kejohanan sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) fasa II, 2012 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 13 hingga 19 Julai baru-baru ini.

UTHM selaku tuan rumah telah menggondol 4 pingat Emas, 4 pingat perak dan 4 pingat gangsa dengan meletakkan kemenangan keseluruhan di tempat ketiga selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai naib johan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai johan.


Kejohanan sukan kali ini melibatkan penyertaan hampir 3000 atlit dan pegawai daripada 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh Malaysia. Sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan iaitu bola baling, sofbol, boling padang, hoki, pencak silat, ping pong, ragbi dan bola keranjang.

Majlis penutup sukan MASUM fasa II yang berlangsung pada 19 Julai bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato’ Razali Ibrahim.


Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata kejohanan sukan MASUM merupakan salah satu platform untuk merealisasikan Dasar Sukan Negara (DSN) yang memberi penekanan kepada sukan untuk semua dan sukan untuk kecemerlangan.

“Pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M 1S) yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah dan kejohanan sukan MASUM untuk menggalakkan sukan secara aktif di peringkat IPT menjadi tunggak penting dalam menjayakan dasar ini. Justeru, saya melihat kejohanan sukan MASUM ini memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sukan selain merupakan tempat untuk mengetengahkan bakat atlit IPT ke peringkat yang lebih tinggi,” Katanya.

Menurutnya lagi, Dasar Pembangunan Sukan IPT  pula mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlit negara terdiri daripada atlit IPT. Justeru beliau yakin jumlah tersebut dapat dicapai melalui sukan MASUM ini.

Majlis penutupan tersebut turut diselitkan dengan upacara pelancaran Sukan IPT Malaysia (SUKIPT) 2012 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bakal berlangsung pada 27 Oktober hingga 8 November nanti. SUKIPT 2012 bakal membabitkan penyertaan lebih 100 kontinjen IPT seluruh negara dengan anggaran penyertaan menjangkaui 15,000 atlet dan pegawai bagi beberapa acara sukan seperti olahraga, renang, tenpin bowling, sepak takraw, badminton, ragbi 7’s, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, taekwondo, menembak, catur, karate, tenis dan bola jaring.

Sebelum itu turut diadakan sesi penyerahan bendera kejohanan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku tuan rumah sukan MASUM yang akan datang.


Turut hadir, Pengerusi MASUM, Profesor Madya Datuk Dr. Kasim Md. Mansur;  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),UTHM Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Saharudin Ismail.

Kor Sispa UTHM juara keseluruhan perhimpunan Kor SISPA IPT peringkat kebangsaan

Oleh Kapten Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam bin Ali, Pegawai Latihan & Operasi Kor SISPA UTHM

Seramai 80 orang Pegawai Kadet termasuk 8 orang Pegawai Bersekutu, Penyelaras dan Jurulatih Kor SISPA UTHM telah menyertai Perhimpunan Kor SISPA IPT Peringkat Kebangsaan Kali ke-3 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari 14-18 Julai 2012. Perhimpunan yang diadakan ini adalah bertujuan untuk menguji dan mengukur tahap kemahiran yang diperolehi mahasiswa sepanjang mengikuti latihan Kor SISPA di IPT masing-masing.

Kor SISPA UTHM telah menyertai kesemua pertandingan yang diadakan iaitu Kawad Kaki, Menyelamat Tempat Tinggi, Melawan Kebakaran, Perawatan Awal, Menyelamat di Air, Membaca Peta dan juga Kayak. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Ishak bin Baba selaku Timbalan Komandan Kor SISPA UTHM dilantik sebagai Ketua Kontinjen manakala Kapten Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam Ali, Pegawai Latihan dan Operasi Kor SISPA UTHM sebagai Timbalan Ketua Kontinjen untuk perhimpunan pada kali ini.

Dengan usaha gigih dan semangat juang yang tinggi, pada tahun ini Kor SISPA UTHM telah berjaya menjadi JUARA keseluruhan mengatasi 19 buah IPT yang lain. Satu pencapaian yang amat dibanggakan kerana pada perhimpunan kali pertama di UiTM, Shah Alam Kor SISPA UTHM mendapat tempat ke-4 manakala pada tahun 2011 di USIM mendapat tempat yang Ke-2 di dalam perhimpunan yang sama.

Bagi memastikan persiapan kontinjen pada tahun ini benar-benar mantap, latihan telah mula dijalankan pada penghujung bulan Jun lagi, dengan satu latihan pusat bersama UTM dan UniKL-MITEC yang diadakan di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) di Kluang, Johor. Kejayaan ini tidak akan datang tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Kokurikulum, Pusat Sukan, Unit Pengangkutan, Pejabat Bendahari, Pejabat JPAM Daerah Batu Pahat, Pejabat JPAM Negeri Johor dan semua warga UTHM sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Diharapkan pada masa yang akan datang Kor SISPA UTHM akan dapat mengekalkan prestasi yang ada, terus maju dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi dan seterusnya menaikkan nama UTHM sebagai universiti yang terhebat di Malaysia.

Berikut adalah keputusan pertandingan :

1)  Petandingan  Kawad Kaki :   Johan
2)  Melawan Kebakaran  :  Johan
3)  Menyelamat Tempat Tinggi :   Naib Johan
4)  Perawatan Awal :   -
5)  Kayak    : Johan
6)  Kemahiran Membaca Peta :   Ketiga
7)  Kemahiran Menyelamat di Air :   Keempat

Friday, July 13, 2012

UTHM tuan rumah Karnival Sukan MASUM Fasa II 2012

Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan Karnival Sukan MASUM Fasa II bagi tahun 2012 mulai 13 hingga 19 Julai ini.

Acara sukan seperti Bola Baling, Bola Keranjang, Boling Padang, Hoki, Pencak Silat, Ping Pong, Ragbi dan Softball akan dipertandingkan sepanjang tarikh tersebut dengan melibatkan beberapa tempat seperti kampus induk UTHM, Kompleks Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), gelanggang Bola Keranjang Tanjong Laboh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vokasional Batu Pahat, Johor.

Acara sukan tersebut melibatkan penyertaan daripada seluruh institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia.

Bagi memeriahkan lagi karnival tersebut, Pusat Sukan UTHM turut mengadakan program sampingan seperti program Santai Budaya pada 14 Julai ini bertempat di Kolej Kediaman Perwira, Pameran Alam Melayu pada 14 hingga 18 Julai di Dewan Serbaguna UTHM dan juga pembukaan kaunter seperti TM Net, Celcom, Horley’s dan Indocafe sepanjang program karnival berlangsung.

Majlis perasmian penutup Karnival Sukan MASUM Fasa II ini pula akan diadakan pada 19 Julai bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII), UTHM. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Ibrahim dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Seluruh warga UTHM dan orang ramai adalah dijemput untuk memeriahkan program ini.