Tuesday, September 20, 2011

Hab Pendidikan Pagoh Dilancar – UTHM turut Serta


Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin beserta pegawai-pegawai kanan dan sebilangan kecil pelajar hadir menyaksikan upacara Pecah Tanah Hab Pendidikan Bandar Universiti Pagoh di Ladang Lanadron, Panchor, Pagoh pada 15 September lalu.

Fasa Pertama Hab Pendidikan Pagoh yang dijangka dapat menampung sebanyak 16 800 penuntut telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada majlis perasmian tersebut, Tan Sri Muhyiddin yang juga menteri Pelajaran berkata, pembangunan fasa pertama hab itu akan melibatkan empat buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

IPTA yang terbabit adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh.

“Saya berharap dengan usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat menarik lebih banyak IPT, terutamanya IPT swasta untuk wujudkan kampus di sini,” tambah beliau.

Pembangunan jangka panjang Hab Pendidikan Pagoh dijangka dapat menggalakkan lagi pembukaan kampus-kampus cawangan universiti luar Negara di samping dapat menambah pengambilan penuntut antarabangsa.

Kos Keseluruhan pembinaan hab pendidikan yang merangkumi beberapa fasa sehingga tempoh 15 tahun itu dijangka menelan belanja sebanyak RM6 bilion.

Hab pendidikan Pagoh itu meliputi kawasan seluas 404.7 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 1659 hektar yang akan dibangunkan sebagai Bandar Universiti Pagoh.

Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar universiti berkenaan, yang merangkumi kawasan perumahan baharu, kemudahan komersial serta kemudahan asas dan awam yang sebahagiannya akan dibangunkan secara kemudahan bersama.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby, Datuk Abdul Wahab Maskan.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.