Thursday, September 22, 2011

Program Sambutan Hari Keamanan Sedunia 2011 Pupuk Kesedaran Masyarakat

Ketika dunia menyaksikan kerakusan Zionis untuk mencapai cita-cita mereka menubuhkan sebuah negara yang dinamakan “Israel Raya”, Malaysia sebagai salah satu negara Islam telah terpanggil untuk turut sama menyokong usaha membebaskan bumi Anbiya’ daripada cengkaman Zionis.

Justeru, Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Aman Palestin cawangan Johor telah menganjurkan program Sambutan Hari Keamanan Sedunia 2011 yang bertema “Selamatkan Masjid Al-Aqsa Dari Ancaman Zionis” bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 22 September lalu.

Antara objektif program adalah untuk memberi kefahaman yang mendalam dan membangkitkan kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia terhadap agenda Zionis dalam usaha mendirikan sebuah negara berkuasa besar iaitu Israel Raya.

Majlis dipenuhkan dengan acara seperti rakaman langsung ucapan Presiden Universiti Islam Gaza (IUG) Palestin, Professor Dr. Kamalain K. Shaath, persembahan puisi bertajuk Saf Terakhir Di bumi Gaza oleh Aktivis Pemuisi dan Dramatis Unit Kebudayaan UTHM, persembahan “Choral Speaking” oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading dan juga tayangan Dokumentari khas.

Program tersebut juga diselitkan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya dan Encik Shaharuzzaman Bistaman, Perunding Aman Palestin yang juga merupakan Penceramah bagi isu-isu Palestin.

Bersempena sambutan tersebut, Pusat Islam selaku penganjur juga telah mengambil inisiatif membuat kutipan derma bagi mengumpul dana untuk tabung Aman Palestin.

Kira-kira 300 orang penonton yang terdiri daripada warga universiti, kakitangan Aman Palestin Johor dan pelajar daripada SMK Seri Gading, SMK Tun Ismail dan SMK Dato’ Sulaiman hadir ke majlis tersebut.


Semasa sesi ceramah berlangsung..


Persembahan "Coral Speaking" oleh pelajar daripada SMK Sri Gading


Antara tetamu yang hadir..


Barisan Penaung Program Sambutan Hari Keamanan Sedunia (UNESCO) 2011

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.