Wednesday, September 7, 2011

Pendaftaran Pelajar Baru Berjalan Lancar

Pelajar baru yang sedang mendaftar


Pendaftaran pelajar baru program Ijazah Sarjana Muda yang bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 7 September berjalan dengan lancar.

Bagi semester 1 2011/2012 ini, UTHM menawarkan sebanyak 2518 tempat untuk pelajar baru.

Pendaftaran kali ini menyaksikan UTHM menerima beberapa pelajar dari universiti lain yang mengikuti program pertukaran pelajar iaitu dua dari Jepun dan lima dari universiti tempatan.

Untuk semester ini, UTHM juga menerima 59 pelajar dari luar negara yang datang dari Libya, Yamen, Somalia, Brunei, Chad, Filipina, Kemboja dan lain-lain.

Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri ini akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh enam fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Kesemua mereka akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak Universiti.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM juga turut meluangkan masa beramah mesra dengan keluarga para pelajar yang mendaftar, melalui sesi temubual yang diadakan.

Sehingga pukul dua petang ini, jumlah pendaftaran pelajar telah mencatatkan sebanyak 1633 orang dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat sehingga pendaftaran ditutup pada pukul lima petang.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa dan keluarga yang membantu proses kemasukan para pelajar baru ini ke UTHM. Kemasukan pelajar-pelajar baru ini amatlah dialu-alukan dan diharapkan mereka dapat menempuh alam kampus dengan sebaik mungkin seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah di akhir pengajian kelak.


Naib Canselor sedang menjawab soalan ketika sidang media berlangsung.


Ketika sesi ramah mesra antara Naib Canselor dan Pegawai Eksekutif dengan ibu bapa para pelajar


Soalan demi soalan: Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan oleh para ibu bapa.


Para pelajar yang menanti giliran untuk mendaftar


Selesai: Pelajar tidak lupa untuk menyemak semula dokumen-dokumen yang dibawa sebelum beredar daripada kaunter pendaftaran




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.