Monday, September 19, 2011

Program Merdeka Raya UTHM Disambut Meriah


Program sambutan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan ke 54 yang berlangsung pada 14 September lalu membuktikan kesungguhan universiti dalam menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan warganya.

Sambutan Bulan Kemerdekaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini telah bermula sejak 15 Ogos lagi dan berakhir secara rasmi pada 16 September.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai program telah diadakan seperti Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan, Deklamasi Puisi Patriotik, Pertandingan Kecerian Bulan Kemerdekaan, Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil, Acara Konvoi Bermotor Pelajar, Pameran Kemerdekaan dan juga perbarisan sambutan hari kemerdekaan.

Seawal pagi lagi, sambutan dimulakan dengan pelepasan kumpulan Konvoi Bermotor Pelajar, yang mana konvoi tersebut bertindak sebagai pembawa jalur gemilang, bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Manakala Dewan Tunku Ibrahim Ismail pula dimeriahkan dengan Majlis Perasmian Penutup Bulan Kemerdekaan ke 54 yang mana majlis tersebut dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Majlis turut diisi dengan Ceramah Patriotisme yang disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera cawangan Batu Pahat, Tuan Haji Khamis Md. Nor, diikuti dengan persembahan Deklamasi Lakon (Dekon) oleh Aktivis Pemuisi Dramatis yang terdiri daripada pelajar program diploma dan diakhiri dengan nyanyian Keroncong Merdeka daripada kumpulan Senandung Rindu, Unit Kebudayaan, UTHM.

Naib Canselor turut menyampaikan ucapan melalui wakil rasminya dengan menyeru warga universiti untuk sama-sama mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini dan turut sama meniupkan semangat tersebut pada generasi muda masa kini.

Majlis diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan yang mana pertandingan ini dinilai berdasarkan keceriaan bangunan-bangunan di sekitar kampus.

Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Hartabina telah mengungguli pertandingan tersebut, diikuti dengan bangunan Pejabat Pendaftar dan bangunan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai.

Sejurus selesai sambutan penutup bulan kemerdekaan, UTHM juga turut meraikan sambutan Aidilfiri 2011 bertempat di padang kawad universiti.

Naib canselor beserta Ahli Lembaga Pengarah Universiti turut hadir ke lokasi untuk menyambut aidilfitri bersama warganya. Hadir sama beberapa Jabatan Awam daerah Batu Pahat. Pelbagai juadah disediakan dan para pengunjung turut dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu raya.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.