Monday, September 19, 2011

Sesi Bersama Pemimpin Minggu Haluan Siswa (MHS) Memotivasikan Pelajar


Bersempena ‘Minggu Haluan Siswa’ (MHS) yang berlangsung selama seminggu, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama pelajar baru, bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 9 September lalu.

Ucapan yang mengambil masa selama satu setengah jam itu diisi dengan kata-kata nasihat dan motivasi, agar semua mahasiswa yang hadir tidak lupa dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Datuk Dr. Shaharuddin mengingatkan mahasiswa agar sentiasa membuat perancangan yang teliti dan tahu hala tuju sepanjang menuntut ilmu di universiti ini.

“Untuk menjadi pelajar cemerlang, jangan sesekali pernah merasa cukup dengan apa yang ada, sebaliknya teruskan berusaha dari masa ke semasa dan tanamkan azam untuk mendapat CGPA 3.0 ke atas,” tambah beliau.

Ucapan beliau turut menggamit perhatian mahasiswa apabila beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang pelajar sekolah, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi dan khidmatnya sebagai kakitangan Awam

Di akhir ucapan, beliau sempat berpesan kepada mahasiswa yang ada agar tidak bertumpu kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya tambahkan ilmu yang ada dengan kemahiran dan pengalaman.

Hadir sama Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Professor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, yang Menjalankan Tugas Naib Canselor dalam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Majlis Sesi Bersama Pemimpin ini dihadiri oleh lebih 2000 orang mahasiswa yang baru mendaftar untuk semester 1 2011/2012.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.