Wednesday, May 2, 2012









Kempen Keselamatan Jalan Raya IPTA 2012 tingkat kesedaran warga IPTA


Bagi meningkatkan lagi kesedaran warga IPTA terhadap keselamatan jalan raya, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah memilih Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai tuan rumah untuk majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya IPTA 2012. Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung pada 17 April lalu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM.

Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ab. Rahim Md. Noor, jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar, kakitangan dan infrastruktur Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) meningkat dari tahun ke tahun dan ini amat membimbangkan banyak pihak. UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah antara universiti yang mencatatkan peningkatan yang agak membimbangkan.

 “Saya berharap agar kempen ini dapat mendidik warga IPTA untuk lebih prihatin kepada isu keselamatan jalan raya, seterusnya dapat menjadi model kepada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin sewaktu majlis pelancaran berlangsung.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh pula mengingatkan warganya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa memandu kereta ataupun menunggang motosikal.

“Tumpuan sepenuhnya amat perlu kerana kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian diri sendiri. Bagaimanapun penyediaan prasarana jalan raya yang berkualiti juga perlu dititikberatkan kerana ianya dapat membantu meningkatkan lagi keselamatan pengguna jalan raya, khasnya di dalam kawasan kampus seluruh IPTA,” katanya.

Bersempena majlis tersebut juga, satu forum keselamatan jalan raya bertajuk “Transformasi Keselamatan Jalan Raya Bermula Dari Kampus” telah diadakan bagi memupuk kesedaran warga IPTA terhadap pentingnya mengutamakan keselamatan jalan raya.

Forum yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Idrus Haji Mohd Masirin, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar,UTHM ini melibatkan tiga ahli panel iaitu Senior Assistant Commisioner, Dato’ Abd. Aziz Yusof, Ketua Trafik Bukit Aman; Dr. Kulanthayan KC Mani, Pensyarah Universiti Putra Malaysia dan Ir. Mohd. Rasid Osman, Ketua Unit Pengurusan Penyelidikan dan Pematuhan, Malaysia Institute of Road Safety Research (MIROS).

Pelbagai isu mengenai keselamatan jalan raya dibincangkan dalam forum tersebut antaranya pendedahan kepada faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan dan cara berkesan untuk mengatasinya.

Selain itu, majlis tersebut juga menyaksikan upacara pemakaian lencana Kemalangan Sifar Kepada lapan Pemandu Kenderaan IPTA yang bebas kemalangan dan kesalahan trafik semasa mengendalikan kenderaan universiti untuk tempoh lima tahun dan hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang telah dipertandingkan sebelumnya.

Hadir sama, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa; Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Haji Ab. Latif Ibrahim, Setiausaha Bahagian (Pengurusan) KPT dan Encik Mohd. Rusdi Mohd. Darus, wakil Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

UTHM juga turut mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya bermula pada 16 hingga 20 April. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang empat hari program ini berlangsung. Antaranya ialah Pertandingan Explorace Keselamatan Jalan Raya, Konvoi berbasikal sekitar kampus, Pertandingan Mencipta Poster dan Menulis Esei, Kempen derma darah serta Khutbah Jumaat Khas mengenai Keselamatan Jalan Raya.

Pengedaran jaket dan pelekat keselamatan jalanraya serta pertukaran topi kaledar secara percuma juga diadakan sepanjang program berlangsung. Aktiviti lain seperti Kursus Pemanduan Selamat, pemeriksaan kereta, motosikal dan pemasangan tali pinggang keselamatan di bahagian belakang penumpang secara percuma  turut dilaksanakan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.