Tuesday, May 15, 2012

NCEEE 2012 himpunkan penyelidik kejuruteraan elektrik dan elektronik



Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik 2012 (NCEEE) yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei lalu bertempat di kampus induk UTHM.

Persidangan ini dianjurkan bertujuan untuk menghimpunkan golongan professional, saintis, jurutera, ahli akademik dan para penyelidik dalam bidang berkaitan untuk membentangkan hasil kerja ataupun penyelidikan mereka supaya dapat dikongsi bersama.

Dekan FKEE, Profesor Ayob Johari berkata beliau  berpuashati dengan sambutan dan penglibatan para peserta sepanjang program ini berlangsung.  

“Persidangan ini turut mendapat penyertaan daripada beberapa institut pengajian tinggi dan juga agensi tempatan. Selain golongan profesional dan pelajar tempatan, beberapa orang pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian peringkat pasca ijazah juga turut membentangkan hasil penyelidikan mereka,” katanya.

Majlis perasmian persidangan yang berlangsung pada 8 Mei lalu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato’ Abdul Samad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti.

Seramai dua orang tokoh akademik dalam bidang berkaitan telah dijemput sebagai pengucap utama persidangan tersebut iaitu Profesor Ir. Dr. Norman Mariun dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan tajuk pembentangan “Malaysia Prospect of renewable energy: Can Malaysia be free of fosil fuel” dan  Profesor Dr. Yoshikazu Miyanaga dari Universiti Hokkaido, Jepun dengan tajuk “Robust speech recognition and its robot implementation.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.