Wednesday, May 2, 2012

221 pelajar program Persediaan Diploma berjaya tamatkan latihan




Majlis Penyampaian Sijil Program Persediaan Diploma 2012, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 29 April lalu menyaksikan penganugerahan sijil kepada 221 orang pelajar yang berjaya menamatkan pengajian.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin pengambilan pada tahun ini terdiri daripada 192 pelajar program Persediaan Diploma dan 29 pelajar program Perantisan Kejuruteraan (EAP). Sepanjang pengajian, para pelajar program Persedian Diploma telah mengikuti kelas selama 325 jam dan pengajaran dan pembelajaran mereka adalah berbentuk kuliah, tutorial dan amali.

Manakala program EAP pula mengambil masa 11 minggu pengajian dan sebahagian besar sukatan pembelajarannya berbentuk praktikal secara amali di makmal kejuruteraan. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai bidang kejuruteraan.

“Seramai 29 orang pelajar telah ditawarkan mengikuti program ini. Mereka diberi pendedahan secara hands-on di makmal-makmal kejuruteraan dan turut didedahkan dengan beberapa kursus seperti Aplikasi Komputer, Keusahawanan serta Komunikasi Bahasa Inggeris,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim selaku wakil rasmi beliau.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor, Datuk Haji Maulizan Bujang.

Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Diploma, Profesor Hj. Ab. Aziz Abdul Latiff; Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Prof. Madya Dr. Asri Selamat, Pengarah Urusan UTHM Holdings, Encik Baharuddin Mohamed, kakitangan universiti serta ibu bapa para pelajar.

Program kali kedua ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma di UTHM. Selain itu, penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar merasai suasana pembelajaran di dalam kampus, di samping untuk mengukuhkan lagi tahap penguasaan mereka dalam bidang Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Asas Perisian komputer.

Bagaimanapun, pelajar-pelajar tersebut perlu lulus dalam peperiksaan akhir dan mencapai piawaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dikehendaki bagi membolehkan mereka ditawarkan ke program-program pengajian Diploma  di UTHM.
Sementara itu, Mohammad Fadzil Nadri salah seorang pelajar program Persediaan Diploma turut melahirkan hasratnya untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma di UTHM.

“Saya mewakili pelajar lain mengucapkan terima kasih pada UTHM kerana telah memberi kami peluang merasai pengalaman belajar di sini. Banyak ilmu yang kami perolehi sepanjang pengajian. Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sijil tersebut.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.