Wednesday, May 2, 2012





Program Rehlah Da’wah – 5000 orang banjiri Masjid UTHM

Kira-kira 5000 orang tetamu membanjiri masjid Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 19 April lalu bagi mengikuti program Rehlah Da’wah Al-‘Alamah Habib Umar Ben Hafidz. Program keilmuan yang dimuatkan dengan beberapa pengisian ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga UTHM dan penduduk seluruh negara termasuk dari negara jiran iaitu Singapura.

UTHM amat berbesar hati kerana terpilih untuk menjadi salah satu lokasi yang dilawati oleh tokoh Ulama' dunia ini. Habib Umar berasal dari Yaman, merupakan seorang Ulama' besar, berpengaruh dan mempunyai pengikut yang sangat ramai di seluruh dunia. Dakwah beliau bukan saja berpusat di Tarim, tetapi berkembang ke seluruh jazirah Arab, Pakistan, India, Sri Langka, Afrika, Australia, Eropah, khususnya Britain dan Amerika Syarikat. Malaysia, Singapura dan Indonesia juga sering menjadi tempat beliau berdakwah.

Kedatangan Habib Umar dan rombongannya  ke UTHM disambut oleh Naib Canselor, Professor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin dan beberapa pegawai kanan universiti. Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan antaranya mengenai usaha Pusat Islam menubuhkan Pusat Penyelidikan Ahli Sunnah Waljamaah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor di UTHM. Hasrat penubuhan pusat tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada Habib Umar beserta rombongannya.

Walaupun berbahasa arab dan menggunakan khidmat penterjemah, ceramah yang disampaikan beliau amat memberi kesan kepada tetamu yang hadir sekaligus membuktikan bahawa beliau sememangnya seorang pendakwah yang amat disegani.

Dalam ceramahnya, beliau telah mengingatkan para jemaah yang hadir agar tidak sesekali meninggalkan solat yang menjadi tiang agama kepada umat Islam. Selain itu, beliau juga berpesan kepada semua agar sentiasa melangkah kaki ke masjid kerana amalan itu juga merupakan salah satu jihad ke jalan Allah. Beliau turut mengajak semua jemaah untuk mengamalkan zikir dan selawat, menjauhi dari segala perkara yang boleh merosakkan diri dan sentiasa memohon keampunan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Selain memberi ceramah dan mengimamkan solat, Habib Umar beserta rombongannya turut menyempurnakan upacara bertahnik iaitu upacara membuka mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa kepada sembilan orang bayi.

Program anjuran Pusat Islam, Kelab Staf UTHM dan Jabatan Mufti Johor ini turut diisi dengan sesi Khatam Al-Quran daripada pelajar-pelajar Tahfiz, bacaan Qasidah dan Wirdul Latif serta ceramah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al- Maliki.

Turut hadir Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Pegawai-Pegawai Kanan Universiti, pemimpin setempat serta ketua jabatan daerah.

Bersempena program ini, UTHM juga menerima sumbangan makanan daripada beberapa pihak untuk diagihkan. Hidangan seperti nasi beriani dan minuman diedarkan secara percuma kepada semua tetamu yang hadir.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.