Wednesday, May 2, 2012

Malam Kebudayaan Tiong Hua 2012 rapatkan perpaduan antara kaum





Biro Kebudayaan Tiong Hua, Sekretariat Perpaduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Malam Kebudayaan Tiong Hua 2012 pada 27 April lalu bertujuan memperkenalkan kebudayaan Cina kepada warga universiti yang berbilang kaum ini.

Penganjuran program ini merupakan satu usaha untuk memelihara dan memperkembangkan keunikan budaya Tiong Hua sekali gus untuk mewariskan budaya ini kepada generasi kini. Di samping itu, program ini juga adalah untuk memberi peluang kepada warga universiti untuk mempelajari budaya cina dengan lebih mendalam.

Majlis yang bertemakan “Kenalkanlah Warisan Budaya Bersama-sama” ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong di Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Beliau dalam ucapan perasmiannya menyatakan sokongan beliau terhadap penganjuran program seperti ini di universiti.

“Usaha untuk menjadikan universiti sebagai agen perpaduan merupakan satu tindakan murni yang sentiasa perlu dipraktikkan. Perkongsian budaya ini dapat mewujudkan satu interaksi positif antara kaum seterusnya dapat mewujudkan sikap toleransi, persefahaman dan saling menghormati antara satu sama lain.,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin menyeru mahasiswa-mahasiswi UTHM untuk melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan supaya setiap keunikan budaya tersebut dapat dikongsi bersama.

“Saya berharap lebih banyak program kebudayaan akan dianjurkan oleh UTHM kerana saya percaya melalui program sebegini, perpaduan antara kaum dapat dieratkan sekaligus dapat mewujudkan suasana kampus yang harmoni,” katanya melalui ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim selaku wakil rasmi beliau pada malam tersebut.

Malam Kebudayaan Tiaong Hua juga turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan menarik. Antaranya persembahan 24 gendang, Orkestra Cina, tarian tradisional, Yoyo Cina, Sign Language dan Sichuan Face Changing Opera. Setiap persembahan yang dipertontonkan itu mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 500 penonton yang hadir.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram, Datuk Koh Chee Chai, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Hashim Saim, sebilangan kakitangan universiti serta masyarakat setempat.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.