Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan
Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah
menganjurkan Program Hari Terbuka MyFKMP 2015 pada 10 Mei lalu bertempat
di Kompleks Teknologi FKMP Blok G2, kampus induk.
Hari Terbuka MyFKMP ini telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan
iaitu untuk mewujudkan peluang berinteraksi dan mengukuhkan hubungan
antara seluruh warga FKMP dengan warga universiti, rakan-rakan industri,
warga politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan tinggi serta
para pelajar di peringkat rendah dan menengah.
Program yang cukup meriah dengan kehadiran pengunjung ini telah dapat
membuka peluang kepada warga fakulti untuk berkongsi maklumat mengenai
aktiviti yang dijalankan, meliputi program-program pengajian yang
ditawarkan, aktiviti penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan,
penerbitan yang dihasilkan serta bidang kepakaran yang boleh dikongsi
bersama dengan rakan-rakan industri serta seluruh masyarakat seperti
yang dihasratkan oleh UTHM.
Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr.
Mohd Noh Dalimin dan turut dihadiri oleh para pegawai Universiti dan
tetamu jemputan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah merakamkan
ucapan tahniah kepada warga FKMP atas kejayaan menganjurkan program ini
serta amat bertepatan dengan meraikan kejayaan FKMP memperolehi
kedudukan antara 300 terbaik di dunia dalam penarafan World University
Ranking untuk subjek Mechanical, Manufacturing and Aeronautic.
FKMP juga turut merintis peluang mengadakan kolaborasi bersama pihak
industri melalui pelantikan penasihat industri bagi kumpulan fokus
penyelidikan. Majlis penyerahan watikah pelantikan kepada Penasihat
Industri Kumpulan Fokus Penyelidikan FKMP telah diadakan dalam program
ini bertujuan membantu mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat
dalam rangka kerja penyelidikan berorientasikan kehendak pasaran dan
juga industri. Sejumlah 24 Penasihat Industri untuk 21 kumpulan Fokus
Penyelidikan FKMP telah dilantik untuk tujuan ini.
Turut diadakan beberapa sesi pelancaran iaitu pelancaran MyFKMP
International Mobility Program (MyFIMP), Alumni Street, bahan-bahan
terbitan FKMP 2015 dan pelancaran galeri FKMP. Naib Canselor serta semua
tetamu turut mengambil kesempatan mengadakan lawatan ke Alumni Street
dan ruangan galeri FKMP. Usaha ini dilihat telah dapat mewujudkan
suasana persekitaran bermaklumat untuk merangsang motivasi dan komitmen
seluruh pelajar agar lebih berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Selain itu, pelancaran program mobiliti FKMP dengan jenama MyFIMP telah
membuka dimensi baharu penganjuran program pelajar di peringkat global
dan diharap dapat memberikan impak terhadap kelangsungan dan kejayaan
program ini untuk tahun-tahun yang seterusnya. Pada tahun ini, MyFIMP
mensasarkan untuk melaksanakan mobiliti ke 10 buah negara melibatkan
sejumlah 227 orang pelajar. Pada program ini juga FKMP turut berkongsi
maklumat dengan seluruh warga universiti berkaitan bahan-bahan
penerbitan FKMP untuk tahun 2015 serta pameran produk-produk hasil
penyelidikan yang dihasilkan melalui kerjasama pintar dengan pihak
industri.
Program Hari Terbuka MyFKMP 2015 turut diserikan dengan pertandingan
Roket Air dan Lego Robot yang melibatkan 25 buat sekolah rendah dan
menengah di sekitar daerah Batu Pahat, Muar, Segamat, Mersing dan
Kulaijaya. Selain itu, aktiviti “MyFKMP Treasure Hunt” juga telah
mendapat sambutan pelajar-pelajar sekolah di peringkat menengah di mana
mereka berpeluang mengenali FKMP dengan lebih dekat disamping mendapat
pendedahan terhadap bidang kejuruteraan Mekanikal. Kehadiran warga
sekolah ke UTHM ini diharap akan dapat menyuntik semangat mereka untuk
menjejakkan kaki ke menara gading pada suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.