Sunday, August 30, 2015

Seminar Pengurusan Kos Sara Hidup bantu peserta urus kewangan

macfea.jpg
BATU PAHAT: Dalam usaha untuk memperkembangkan ilmu pengetahuan serta memberikan pendedahan kepada penduduk tempatan khususnya, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah mengadakan satu Seminar Pengurusan Kos Sara Hidup pada 25 April lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Seminar yang disempurnakan oleh Datuk Ab. Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Batu Pahat mengandungi dua forum  iaitu forum “Menangani Kos Sara Hidup” dan “Gaya Hidup Pengguna.” Turut diadakan satu bengkel yang telah dikelolakan oleh Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK). 
 
mafea3.jpg 
Program seminar ini dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Pengguna Dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Fakulti Sains, Teknologi & Pembangunan Insan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pejabat Menteri Besar Johor serta pelajar Khidmat Masyarakat seksyen 4 yang di pimpin oleh Dr.Khairunesa Hj.Isa.

Seminar yang berlangsung selama satu hari ini disertai seramai 300 peserta yang terdiri daripada penduduk Taman Cendana Pasir Gudang, Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu saat, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa, ahli jawatankuasa Masjid Riyadh Solihin, Pintas Puding ,beberapa buah cawangan  Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Batu Pahat, Persatuan Ibu Tunggal daerah Batu Pahat dan penduduk sekitar Mukim Sri Gading(VII). 
mafea1.jpg
Seminar ini merupakan rangkaian aktiviti  yang memberi ruang kepada agensi untuk  berkongsi maklumat bagi membantu  setiap lapisan masyarakat dalam aspek kewangan di samping memberi pendekatan tentang pengurusan kewangan di masa akan datang.

Pengurusan kos sara hidup amatlah  penting bagi menjamin masa depan yang lebih baik.Ini kerana jika dilihat keadaan ekonomi negara sekarang, masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga supaya masyarakat tidak menghadapi sebarang kemungkinan di kemudian hari. Dengan adanya seminar bersama Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) ini, ia dapat memberi ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pendapat serta bertukar-tukar idea. Manakala bengkel yang dikendalikan oleh AKPK pula membantu memberi penghebahan maklumat berasaskan penyelidikan ekonomi kewangan kepada segelintir kumpulan sasaran yang berkaitan. 

Forum pertama yang dikendalikan oleh Profesor Dr Rosman Md. Yusoff bersama ahli panel Profesor Dr. Laily Hj Paim. Seterusnya , Forum kedua yang dikendalikan Oleh Profesor Madya Dr Hussain Othman bersama ahli panel Prof.Madya Dr Sharifah Azizah Haron. Manakala Penceramah bengkel bersama Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit pula disampaikan oleh Encik Muhd Nasir Mustafa dan Encik Osman Yusop.
 
Majlis Penutup program  telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Laily Pai, Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna Dan Keluarga Malaysia (MACFEA). Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas atas usaha para pelajar yang diketuai pengarah programnya, Muhammad Shazreel Amir  Azmee dalam  mengendalikan program seumpama ini. Beliau juga berharap agar MACFEA terus konsisten dalam meningkatkan daya pemikiran pengguna Malaysia secara langsung mahupun tidak untuk masyarakat belajar cara Pengurusan Kos Sara Hidup yang kini kian meningkat.

Turut hadir dalam majlis penutup ialah Profesor Madya Dr. Ahmad Esa, Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM dan Dr Hatijah Binti Basri, Timbalan Dekan (a) Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan insan dan Dr. Khairunesa Hj. Isa selaku Penyelaras Program Seminar Pengurusan Kos Sara Hidup. 

Semua peserta yang terlibat turut diberikan Sijil Penyertaan dan cenderahati sumbangan daripada Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA) serta Pusat Kokurikulum UTHM.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.