Sunday, August 30, 2015

Kelab Staf UTHM anjur Pertandingan Tenpin Boling – erat hubungan staf

Batu Pahat – Bagi mengeratkan hubungan antara kelab dan persatuan staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu Pertandingan Tenpin Boling Piala Pengerusi Kelab Staf UTHM telah diadakan bertempat di Pacific Bowl, Batu Pahat Mall pada 1 Jun lalu.

Pertandingan Tenpin Boling yang dianjurkan oleh Kelab Staf UTHM ini melibatkan penyertaan dari Ahli Jawatankuasa Kelab Staf UTHM serta persatuan staf iaitu PERKASA, PENTAS, KEKAS, SUTERA dan PAP-PRO.

Pertandingan ini dibahagikan secara berkumpulan dan setiap persatuan perlu menghantar dua wakil pasukan manakala bagi kategori VIP pula, pertandingan adalah secara individu. Turut serta Profesor Dr. Hashim Saim selaku Pengerusi Kelab Staf UTHM, Profesor Dr. Rosziati  Ibrahim dan juga Profesor Madya Dr Ahmad Esa.Terdapat 12 pasukan yang telah berentap untuk merebut Piala Pusingan Pengerusi Kelab Staf UTHM. 

Profesor Dr. Hashim  memulakan balingan pertama sebagai simbolik perasmian program tersebut. Sesi penyampaian hadiah pula menyaksikan Setiausaha Kelab Staf UTHM,Puan Farah Deena Md Rapee menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori individu manakala  Profesor Dr. Hashim pula bagi kategori berkumpulan.

Bagi kategori individu, juara disandang oleh Profesor Dr. Rosziati Ibrahim manakala bagi kategori berkumpulan, tempat ketiga disandang oleh Pasukan PERKASA. Naib juara disandang oleh Pasukan KEKAS dan juara keseluruhan disandang oleh Pasukan PAP-PRO. Juara telah membawa pulang hadiah berupa piala individu, hamper dan juga piala pusingan.

Kejayaan penganjuran program ini merupakan hasil usaha serta komitmen dari semua pasukan dan ahli jawatankuasa pelaksana. Semoga program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang dan menjadi salah satu medium rekreasi selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara persatuan-persatuan staf dalam Universiti. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.