Saturday, August 29, 2015

Pidato Badan Beruniform semarak patriotisme mahasiswa

uthm-pidatopatriotik.jpg 
BatuPahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kokurikulum telah menganjurkan Pertandingan Pidato Semarak Patriotik 2015 peringkat Universiti Awam (UA) Malaysia pada 16 Mei lalu.

Program yang mendapat kerjasama Majlis Kokurikulum Universiti-universiti Malaysia (UniCC) dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia ini melibatkan penyertaan 29 orang mahasiswa dari 14 Universiti Awam Malaysia. 

Pertandingan pidato ini merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia membawa tema “Kokurikulum Membentuk Generasi Berjiwa Patriotisme’. Keunikan pertandingan yang mensyaratkan peserta dalam kalangan anggota badan beruniform ini terserlah dengan keterampilan mereka berpidato memakai uniform bagi unit yang dianggotai. Pertandingan peringkat akhir melibatkan lima peserta terbaik yang dipilih dalam kalangan peserta peringkat saringan yang berlangsung pada sebelah pagi.

Pertandingan yang diilhamkan di peringkat Majlis Kokurikulum Universiti-universiti Malaysia (UniCC) ini bertujuan menyahut seruan kerajaan yang ingin melahirkan graduan yang holistik serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi seperti yang terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendididkan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Memberikan impak positif khusus kepada golongan mahasiswa, program ini turut bertujuan mengunci kerjasama erat dalam kalangan universiti-universiti awam Malaysia.
           
Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir yang berlangsung di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI) UTHM telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, Profesor Madya Dr. Asri Selamat sebagai wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Turut hadir Puan Faudziah binti Md. Din, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Mahasiswa (BPMs), Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Malaysia serta Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman selaku Pengerusi UniCC. Majlis Perasmian Penutup dan Pertandingan Akhir turut dihadiri lebih 800 penonton yang majoritinya dalam kalangan pelajar badan beruniform UTHM dan beberapa pelajar kursus kokurikulum yang lain seperti Debat, Pengucapan Awam dan Asas Kewartawanan. 

Johan Pertandingan Pidato Semarak Patriotik 2015 ini menjadi milik Siti Fatehah Mohammad Mazni dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Siti Fatehah yang menganggotai badan beruniform PALAPES ini berjaya menyampaikan pidato yang bertajuk “Mahasiswa Berperanan Ke Arah Kelangsungan Perpaduan Negara” dengan baik, sekaligus mengenepikan cabaran empat lagi peserta akhir yang mewakili empat universiti iaitu Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan UTHM sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000 berserta sijil. 

Tempat kedua disandang oleh Tan Lay Wun dari badan beruniform SUKSIS, UPSI. Wun menerima hadiah wang tunai RM800 dan sijil. Manakala tempat ketiga pula menjadi milik Noor Azwan Mohd Taib dari unit beruniform SISPA, UMK yang membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil. 

Penganjuran pidato ini menjadi contoh terbaik kepada institusi lain bagi menggalakkan lebih banyak lagi penganjuran program-program seumpamanya dalam usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.