Saturday, August 29, 2015

Kumpulan pertama Briged RELASIS UTHM terima tauliah

relasis.png

Batu Pahat – 30 April 2015 telah mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 23 orang mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi kumpulan pertama Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) yang ditauliahkan dengan pangkat Timbalan Penguasa Kanan RELASIS (TPgKR).

Dalam majlis pentaulihan tersebut, empat kakitangan termasuk Penolong Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Omar turut menerima Pangkat Pegawai Bersekutu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Beliau turut dilantik sebagai Komander Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) di universiti ini.

Majlis Pentauliahan ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Adenan Ab. Rahman di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM.

Turut hadir Ketua Pengarah RELA Malaysia, Tuan Lukeman Saaid dan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin serta pegawai tertinggi IPRM dan  pegawai-pegawai kanan universiti.

Sementara itu, Dato’ Seri Adenan dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa yang ditauliahkan agar memikul tanggungjawab dan amanah sebagai sukarelawan yang berada dibarisan paling hadapan dalam membantu menangani krisis keselamatan, kecemasan atau bencana.

Tambah beliau, mahasiswa yang ditauliahkan berperanan sebagai perantaraan dan jurulatih bagi menyalurkan ilmu pengetahuan serta berharap sumbangan dan keperibadian tinggi menjadikan RELASIS UTHM setanding dengan badan beruniform lain.

“Justeru, saya berharap setiap mahasiswa yang terlatih dengan ilmu RELASIS dapat memainkan peranan masing-masing dalam membantu mereka disekeliling kita yang memerlukan,” katanya.

Dato’ Seri Adenan juga berkata penyediaan landasan awal kepada mahasiswa dengan menyemai nilai-nilai murni untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara secara tidak langsung akan memupuk nilai kesukarelawanan dan kesiapsiagaan yang tinggi untuk berkhidmat apabila tenaga mereka diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.