Sunday, August 25, 2013

236 pegawai kadet Kor SISPA IPT terima tauliah

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kebangsaan Kor Sukarelawan Siswa Pertahanan Awam (SISPA) Kali Ke-4 Tahun 2013 yang berlangsung pada 23 hingga 27 Ogos 2013 bertempat di kampus utama UTHM, Parit Raja.
Program ini merupakan acara tahunan dan diadakan secara bergilir di kalangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan kali ini UTHM berbesar hati untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.
Majlis perasmian yang telah berlangsung di Padang Kawad, UTHM telah disempurnakan oleh Prof. Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd. Kassim, wakil rasmi Naib Canselor UTHM merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Antara amanat yang telah disampaikan oleh beliau, “SISPA merupakan wadah terbaik dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam diri mahasiswa. Latihan yang telah diadakan merupakan peluang kepada kita semua untuk menguji keupayaan dan kesediaan kita dalam menghadapi apa jua cabaran dengan berbekalkan semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi. ”
Sepanjang empat hari berada di UTHM, para peserta akan mengikuti pelbagai acara dan pertandingan yang akan menguji kemahiran serta jatidiri mereka. Antara pertandingan kemahiran yang akan diadakan adalah kemahiran pertolongan cemas/medik, menyelamat aras tinggi, melawan kebakaran, kawad kaki serta explorace. Para peserta turut akan terlibat di dalam aktiviti khidmat masyarakat bertemakan alam sekitar bersama penduduk sekitar kampus UTHM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Pesuruhjaya (PA) Roslan bin Wahab, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan, Jabatan Pertahanan Awam, Prof. Dr. Hashim bin Saim, menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa),Prof. Dr. Jailani bin Md. Yunos, Komandan Kor SISPA UTHM serta komandan-komandan dari IPT lain.
Program bermula dengan perbarisan masuk kontinjen-kontinjen dari 24 agensi iaitu 12 IPTA, 10 IPTS dan dua institut perguruan yang melibatkan seramai 236 orang pegawai kadet. Terdahulu UTHM telah menyediakan beberapa buah kolej kediaman untuk menerima kemasukan 1518 orang peserta dan pegawai pengiring.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.