Tuesday, August 20, 2013

Jelajah Siri Ke-2 Program Kasih Ramadan capai matlamat

Jelajah Siri Ke-2 Program Kasih Ramadan capai matlamat
Kasih Ramadan melakukan ziarah pertamanya pada 12 Julai 2013 yang lepas dimana ianya telah membuka mata semua pihak bahawa tidak semua golongan mendapat limpahan rezeki daripada pembangunan UTHM secara terus terutama sekali mereka yang berada disekitar universiti ini. Sehubungan dengan itu, berbekalkan semangat, sumbangan dan sokongan orang ramai dari UTHM hingga ke luar negara serta daripada pelajar antarabangsa di UTHM sendiri, delegasi yang disertai oleh lebih kurang 20 staf dan pelajar telah bergerak pula ke Kg Parit Bengkok, Kg Parit Hj Salleh, Kg Parit Samion, Kg Parit Bintang dan akhir ke Kluang dalam sesi ziarah kedua Kasih Ramadan. Sasaran ziarah kali ini ialah golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan mangsa kebakaran dengan jarak dari UTHM sekitar 6 km persegi.
Ziarah bermula jam 2.30 petang telah menuju ke rumah Pn Rafeah Hj Elias, seorang warga emas yang tinggal seorang diri. Kedatangan kami disambut dengan penuh sebak dan terharu oleh beliau. Ketika pihak kami melangkah keluar setelah sumbangan disampaikan melalui Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Madya Dr Yusri Yusof, Pn Rafeah seolah-olah tidak dapat menahan diri dari mengalirkan air mata. Semoga Ramadan kali ini boleh membawa sinar baru kepada beliau.
Ziarah kami seterusnya mengunjungi 6 buah rumah lagi di sekitar kawasan Parit Raja iaitu rumah Pn Rafidah Aziz (ibu tunggal), Wak Tenem (warga emas), Cik Mujinah Bolkin (OKU), Hjh. Siti Fatimah (warga emas), En Azmi Bakri (warga emas) dan akhir sekali, En Boyani Jasman (mangsa kebakaran). En Boyani telah ditimpa musibah pada 7 Ramadan yang lepas apabila rumahnya musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pada jam 6.20 petang pada hari tersebut. Atas bantuan ketua kampung, kini dia dan ahli keluarganya menumpang di balai raya kampung tersebut buat sementara waktu.




Ziarah kali ini ditambah dengan ziarah khas bagi menziarahi keluarga mangsa kebakaran di Kluang yang memusnahkan rumah teres sederet milik Pn Sabariah Abd Aziz, Pn Asiah Md Isa, En Mohd bin Abdullah dan Pn Norisak Mohd Subari. Semoga sumbangan dari pihak kami dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga terbabit. Sesungguhnya program ini telah banyak membantu para delegasi untuk merenung kembali nikmat yang telah dikecapi dan sentiasa bersyukur diatas kurnia darinya. Semoga sedikit sumbangan yang diberikan memberikan sinar kebahagiaan hendaklnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.