Tuesday, October 9, 2012

Karnival Aktiviti Pelajar 2012 promosi kelab dan persatuan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menganjurkan Karnival Aktiviti Pelajar pada 22 hingga 24 September lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM bagi mempromosi kelab-kelab yang ada di universiti ini di samping mendapatkan keahlian baru dalam kalangan pelajarnya.  

Program ini merupakan platform kepada para pelajar khususnya yang baru mendaftar di UTHM untuk mengenali dan menyertai sebarang aktiviti yang bakal dianjurkan oleh kira-kira 47 kelab dan persatuan sekaligus memenuhi tuntutan universiti dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga kokurikulum. Karnival yang merupakan program tahunan HEP ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kelab dan persatuan yang ada.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pameran, persembahan bakat, futsal, usahawan muda, debat, pertandingan teh tarik, memasak dan juga fotografi. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Senator Tuan Gan Ping Shou @ Gan Ping Sieu telah menyempurnakan majlis perasmian karnival tersebut yang berlangsung pada 22 September lalu. Beliau dalam ucapan perasmiannya mengingatkan pelajar agar sentiasa meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Ini kerana program sebegini merupakan salah satu pembelajaran sepanjang hayat yang perlu dihayati oleh setiap pelajar. 

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan warga kerja UTHM di samping mahasiswa yang memenuhi dewan.

Sambutan Hari Keamanan Sedunia “Selamatkan Syria,”- Manifestasi keprihatinan UTHM

Sudah lebih setahun rakyat Syria menderita disebabkan kekejaman yang dilakukan rejim Bashar yang menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya. Sepanjang tempoh itu, purata kematian rakyat Syria dalam tempoh sehari meningkat sehingga 200 orang sekaligus menunjukkan jumlah kematian setakat ini mencecah kira-kira 8,500 orang, manakala 39,000 cedera dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa.

Kekejaman rejim Bashar lebih terserlah apabila mereka mula menggunakan kereta kebal, senjata berat dan memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah dan masjid, mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak. Lebih buruk lagi rakyatnya yang beragama Islam dipaksa mengucap dengan mengatakan "tiada tuhan melainkan Bashar."

Justeru, dunia tidak harus membiarkan rakyat Syria terus ditindas dan dizalimi oleh Bashar al-Assad ini. Semua pihak tanpa mengira kaum dan agama harus bangkit bagi menyatakan tentangan kepada Bashar al-Assad dan sokongan perlu diberi kepada perjuangan rakyat Syria yang inginkan kebebasan, keadilan, keamanan, demokrasi dan hak asasi.

Atas kesedaran inilah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Islam menganjurkan  program "Selamatkan Syria" bersempena sambutan Hari Keamanan Sedunia (UNESCO) yang berlangsung pada 25 September lalu.

Program yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, UTHM ini menampilkan sukarelawan Syria merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat My Corps (Malaysian Youth Volunteers), Encik Jufitri Joha sebagai penceramah bagi menerangkan tentang sejarah kebangkitan Syria, konflik yang berlaku serta sumbangan yang boleh diberikan untuk membantu rakyat Syria. 

Program tersebut turut disi dengan tayangan montaj konflik di Syria dan persembahan deklamasi puisi oleh sekumpulan pendeklamator yang terdiri daripada staf dan pelajar UTHM. Kedua-dua persembahan tersebut sangat menyentuh hati para penonton yang hadir sekaligus menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk turut sama membantu misi menyelamatkan Syria.

Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al Edrus dalam ucapan perasmiannya berkata UTHM amat prihatin dengan isu-isu sebegini dan sentiasa berusaha untuk membantu semampu yang boleh. Tabung "Save Syria" turut diwujudkan di UTHM sebagai inisiatif untuk membantu mengurangkan penderitaan rakyat Syria.

"Saya menyeru kepada warga UTHM agar melihat tragedi Syria ini dengan penuh keinsafan. Kita boleh menghulurkan bantuan bukan sahaja dari segi wang ringgit bahkan dengan doa dan sokongan agar beban mereka dapat dikurangkan," katanya.

Mengimbas kembali sejarah, Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan "rakyat menuntut kerajaan turun" di dinding telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim. Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan. Namun rejim Bashar membalasnya dengan kekerasan dan penindasan. Kini, setelah lebih 12 bulan, penunjuk perasaan terus berjuang siang dan malam membela diri daripada kekejaman. 

Profesor Macapado Buka Tirai Pidato Sempena Ulang Tahun Ke-20 UTHM

Bersempena ulang tahun Ke-20 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang akan disambut pada tahun 2013, satu siri pidato umum yang akan disampaikan oleh 20 tokoh akademik ternama dari seluruh dunia akan mengisi program yang dikenali sebagai "UTHM 20th Anniversary Lecture Series".

Pembuka tirai pidato bagi program ini adalah Presiden Mindanao State University System (MSU System) dari Filipina iaitu Profesor Macapado A. Muslim. Beliau adalah Profesor dalam bidang politik dan pentadbiran awam.  Kepakaran beliau khususnya dalam aspek pembinaan peradaban serta tadbir urus masyarakat berbilang etnik dan budaya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain menerajui MSU System, beliau juga memegang jawatan dalam beberapa organisasi sivik antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Good Citizenship Movement (GCM) dan Global Education for Peace, Ahli Lembaga Penasihat Kebangsaan bagi Ford Foundation International Fellowship Program (IFP) serta beberapa organisasi lain. 

Di Malaysia, beliau merupakan individu yang memainkan peranan penting bagi penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hingga pernah dilantik sebagai salah seorang Perunding Pengurusan bagi universiti tersebut. Beliau juga kerap diundang di pentas antarabangsa sebagai penasihat dan pembentang kertas kerja berkaitan politik, pengurusan serta tadbir urus masyarakat multi etnik dan budaya.

Di UTHM, beliau akan menyampaikan pidato bertajuk "The Need for Multiculturalist Governance in Multiethnic Countries". Tajuk ini sangat relevan dengan lanskap sosio politik tadbir urus masyarakat di Malaysia yang turut didiami oleh masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya. Beliau dijangka akan berkongsi pengalaman luas beliau dalam membuat kajian berkaitan tadbir urus Negara-negara multi budaya khususnya di Filipina yang merangkumi aspek cabaran, permasaalahan serta penyelesaian bagi menghadapi kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam sesebuah Negara.  

Kumpulan teater UTHM wakil negeri Johor ke peringkat kebangsaan

Kumpulan teater UTHM di bawah bimbingan Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dinobatkan sebagai juara Festival Teater Negeri Johor pada 27 Mei 2012 lalu sekaligus melayakkan mereka mara ke peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 30 September hingga 6 Oktober ini bertempat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Setelah berjaya melepasi peringkat saringan yang berlangsung pada 23 Jun lalu, kumpulan teater UTHM bersama lima kumpulan terbaik daripada 14 buah negeri mula melakukan persediaan rapi sebelum menjejakkan kaki ke pentas pertandingan akhir itu.

Kumpulan teater yang terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi UTHM ini adalah dibawah arahan dan karya Encik Rosdi Abdullah yang bertajuk JANIN AL-ISRA. Kumpulan yang diletakkan di bawah penasihat Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Kamarudin Khalid ini diuruskan oleh Encik Mohd Fadel Alwi serta dipantau keseluruhannya oleh Encik Mahyuzie Jenal. 

Kemenangan pertandingan teater ini bukan sahaja telah menjadi kebanggaan UTHM malah kerajaan negeri Johor juga sangat berbesar hati dengan penglibatan UTHM sehingga mara ke peringkat Kebangsaan memandangkan  sudah sekian lama negeri Johor tidak mara ke peringkat sejauh ini. 

Uniknya para pelakon dan kru teknikal kumpulan ini adalah terdiri daripada pelajar UTHM yang mengambil bidang kejuruteraan tetapi masih mampu mengikuti disiplin dan ilmu teater dengan baik sekali. Ini membuktikan bahawa kumpulan pelajar ini telah mempamer dan mempraktikkan sepenuhnya kemahiran insaniah mereka melalui kursus yang diambil.

Antara barisan pelakon yang terlibat dalam produksi teater JANIN ini ialah pengarahnya sendiri iaitu Encik Rosdi Abdullah, Saudara Najib Supian, Saudara Andika Saputra Ajunaidi, Saudara Taufik Abu Samah, Saudara Idham Hadi, dan Saudara Nizam Abdul Rahman. Manakala selebihnya terlibat dalam iringan muzik serta pengurusan teknikal.

Pihak produksi kumpulan teater ini amat berterima kasih di atas sokongan penuh daripada Pusat Kokurikulum khasnya dan UTHM amnya yang menjadi salah satu nadi kejayaan teater kumpulan ini. Semoga perjuangan diperingkat kebangsaan nanti turut membuahkan hasil demi mengharumkan lagi nama universiti ini.

IPT Malaysia raih 21 Pingat di Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM

Pasukan silat institut pengajian tinggi (IPT) yang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa menduduki tempat pertama apabila berjaya meraih 14 pingat emas, 3 pingat perak dan 4 pingat gangsa semasa menyertai Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri edisi Ke-3, 2012 yang berlangsung pada 17 hingga 22 September lalu bertempat di pusat membeli belah Square One, Batu Pahat.

Kejohanan ini juga menyaksikan negara Singapura berada di tempat kedua setelah berjaya meraih 5 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa dan negara Vietnam di tempat ketiga dengan meraih 2 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa. Lebih membanggakan lagi apabila kedua-dua atlit dari Malaysia iaitu Muhammad Faizul M. Nasir dan Siti Zubaidah Che Omar telah dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Putera/Puteri peringkat antarabangsa.

Bagi acara silat olahraga dan silat seni peringkat IPT pula, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinobat sebagai johan setelah berjaya meraih 8 pingat emas,1 pingat perak dan 3 pingat gangsa diikuti dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai naib johan dengan meraih 4 pingat emas,2 pingat perak dan 4 pingat gangsa. Manakala Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula di tempat ketiga dengan meraih 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa. 

Sementara itu Muhammad Munawwar Shamsuddin pelajar dari UiTM dan Zaiton A/P A Koang pelajar dari UPSI pula dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Putera/Puteri peringkat IPT Malaysia. Majlis penyampaian hadiah dan penutup yang berlangsung pada 22 September lalu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Dato' Profesor Dr. Rujhan Mustafa. Hadir sama Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin dan beberapa pegawai kanan universiti.

Kejohanan silat ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). UTHM sebagai pusat sukan tumpuan bagi acara silat olahraga ini telah dipertanggungjawab untuk mengurus kejohanan yang amat berprestij ini.

Sebanyak 43 institut pengajian tinggi (IPT) yang merangkumi 16 universiti awam, lapan politeknik, empat kolej komuniti dan lima IPT swasta telah menyertai kejohanan tersebut. Manakala selebihnya disertai oleh sepuluh IPT luar negara iaitu dari United Kingdom, Yaman, Belanda, Belgium, Brunei, Indonesia, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam. Selain itu terdapat juga penyertaan daripada peserta antarabangsa dari Brunei, Indonesia, Somalia dan Yaman yang berada di Malaysia. Kejohanan Pencak Silat kali ini melibatkan seramai 600 orang pesilat iaitu 520 peserta datang daripada IPT tempatan manakala 80 lagi dari IPT luar negara.

Program ini adalah sebagai medium dalam mencapai misi Dasar Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DSIPT) untuk melahirkan 30% atlit negara dalam kalangan atlit IPT khususnya dalam bidang  sukan silat olahraga. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan lagi penglibatan pelajar IPT dalam bidang sukan sekaligus memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mereka untuk terus bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa. Kejohanan ini juga sebagai persiapan bagi pasukan pelapis atau elit kebangsaan yang bakal mewakili negara ke kejohanan yang lebih besar.